Enam pasukan peroleh lesen penuh kelab kebangsaan.

SIARAN MEDIA: STATUS PEMENUHAN LESEN BERSYARAT BAGI TUJUH PASUKAN DAN TUNGGAKAN DI DALAM SURAT AKUAN BERSUMPAH (SD). Kredit Foto : FAM

Lesen kelab kebangsaan dengan bersyarat yang diberikan kepada UKM FC sebelum ini ditarik balik.

Enam pasukan Liga Malaysia (Liga-M) yang diberi lesen kelab kebangsaan secara bersyarat berjaya memenuhi syarat memperoleh lesen kelab kebangsaan, sekali gus melayakkan mereka beraksi pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Enam pasukan berkenaan terdiri daripada dua pasukan Liga Super iaitu Pahang dan Melaka, manakala bakinya adalah empat pasukan Liga Premier iaitu Kelantan, Sarawak United FC, Pulau Pinang dan Kuching City FC.

Bagaimanapun, Pengerusi First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif berkata lesen kelab kebangsaan dengan bersyarat yang diberikan kepada UKM FC sebelum ini ditarik balik kerana tidak memenuhi syarat ditetapkan.

“Walaupun pasukan Melaka berjaya memperoleh lesen kelab kebangsaan, pasukan berkenaan masih perlu menyelesaikan tunggakan bayaran Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM276,169.75,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan FAM malam ini.

Sekiranya Persatuan Bola Sepak Melaka gagal membuat bayaran, tindakan tegas boleh diambil termasuk penarikan balik lesen (kelab kebangsaan) boleh dikenakan oleh FIB, katanya.

Jika mana-mana pasukan didapati melanggar artikel-artikel yang terdapat dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM atau mempunyai kes tunggakan berkaitan dengan FIFA dan AFC, lesen kelab mereka boleh ditarik balik pada bila-bila masa.

FAM

Sheikh Mohd Nasir menegaskan pihaknya akan melakukan pemantauan berterusan terhadap enam pasukan berkenaan untuk memastikan tiada tunggakan atau terdapat perjanjian bersama untuk penyelesaian atau bayaran berjadual supaya pasukan tersebut masih dalam pematuhan dengan syarat oleh lesen mereka.

Beliau turut memaklumkan lesen penuh kebangsaan yang diberikan kepada enam pasukan berkenaan boleh ditarik balik pada bila-bila masa, sekiranya mereka didapati melanggar artikel yang terdapat dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM atau mempunyai kes tunggakan berkaitan dengan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa dan Konfederasi Bola Sepak Asia.

Pada 5 Okt lalu, tujuh pasukan berkenaan diberikan lesen kelab kebangsaan dengan bersyarat oleh pihak FIB Pelesenan Kelab FAM kerana masih mempunyai tunggakan yang perlu diselesaikan termasuk tunggakan gaji dan mereka diberi tempoh sehingga 31 Okt lepas untuk menyelesaikan kesemua tunggakan yang ada dengan pasukan masing-masing.

Bagaimanapun, FAM bersetuju memberi tempoh lanjutan sehingga 31 Dis 2020 kepada kesemua tujuh pasukan berkenaan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) disebabkan peningkatan kes jangkitan COVID-19.

Badan induk itu memperkenalkan Surat Akuan Berkanun atau Statutory Declaration (SD)  pada 2019 untuk memantau kes tunggakan kepada pemain, pegawai dan agensi kerajaan yang merangkumi tempoh selepas lesen diberi iaitu 1 Julai hingga 30 Nov pada tahun berkenaan sebagai langkah proaktif untuk memastikan penyelesaian tunggakan diambil oleh pasukan.

Kesemua pasukan Liga-M diwajibkan mengisytiharkan segala tunggakan termasuk bayaran gaji, bayaran LHDN dan caruman KWSP dalam SD berkenaan.

BERNAMA

About MyGooners 905 Articles
Sekadar menulis mengisi masa lapang.

Be the first to comment