Nasib tidak menentu Lucas Torreira di Sepanyol.

5 Oktober 2020, Torreira menyertai Atletico Madrid secara pinjaman untuk tempoh semusim.

Pemain yang satu ketika dahulu bagaikan jawapan kepada permasalahan yang dihadapi pada barisan tengah Arsenal, akhirnya mengambil keputusan untuk berpindah.

Walaupun perpindahan beliau dibuat secara pinjaman, namun keputusan tersebut terpaksa dilakukannya setelah mendapati dirinya tidak lagi menjadi pilihan Mikel Arteta.

Bagaimanapun keputusan Lucas Torreira untuk menyertai Atletico Madrid gagal memenuhi hasratnya yang mencari minit permainan setelah tidak menemuinya Stadium Emirates.

Bersama kelab Sepanyol itu, beliau hanya membuat tujuh penampilan dengan 208 minit masa bermain dalam saingan La Liga.

Rekod penampilan Torreira bersama Atletico Madrid setakat ini.

Setakat ini, beliau hanya membuat sekali penampilan penuh (90 minit) ketika bertemu Celta de Vigo yang berkesudahan Atletico mencatat kemenangan 2-0.

Purata minit beraksi yang dimiliki Torriera ketika ini adalah sebanyak 29.7 minit.

Jelas sekali ini bukanlah sesuatu yang diinginkan beliau.

Minit beraksi Torreira dalam La Liga musim ini bersama Atletico.

Dengan masa depan Torreira yang tidak menentu di Atletico Madrid, Pengarah Arsenal Edu Gaspar mengambil kira perkembangan itu dan prihatin dengan kehidupan pemain tersebut.

Beliau kini telah mengesahkan terdapat beberapa pendekatan untuk perpindahannya pada jendela perpindahan Januari.

“Situasinya sangat mudah. Arsenal prihatin dengan Torreira, kebahagiaannya, bahawa dia bermain dan dia sihat.

“Kami ingin tahu tentang dia, bagaimana perasaannya dan tentu saja, tahu apa yang Atletico fikirkan, ”kata Edu Gaspar kepada AS.

“Bagi kami, Lucas dan kebahagiaannya adalah perkara yang paling penting.

“Sekiranya semua orang gembira, kami akan terus seperti ini, jika Lucas tidak gembira, kami akan mencari perubahan kerana terdapat banyak pasukan yang menghubungi saya bertanyakan mengenai situasi pemain itu [Torreira]. “

Lucas Torreira meninggalkan Arsenal pada musim panas dengan rancangan untuk mendapatkan lebih banyak masa bermain.

Namun, beliau hanya membuat 13 penampilan untuk Atletico Madrid setakat ini dan akhir-akhir ini, beliau lebih banyak memanaskan bangku simpanan.

AS menulis bahawa Diego Simeone yang kehilangan Thomas Partey kepada Arsenal tidak begitu menggemari Torreira dan tidak menjadikannya pemain penting dalam skuadnya.

Satu-satunya sebab mengapa Colchoneros terus berusaha mengekalkan Torreira adalah sebagai persiapan sekiranya terdapat mana-mana pemain mereka terjebak dengan Covid-19 dan Simeone masih mempunyai pilihan pemain untuk digunakan.

Media itu turut menambah bahawa Valencia telah berminat untuk mendapatkan khidmat Torreira dan pemain itu sendiri telah menyatakan kesediaannya untuk berpindah.

Oleh itu, kini terserah kepada Arsenal dan Atletico Madrid untuk menyelesaikan masalah ini.

Kelab lain yang dilaporkan turut berminat mendapatkan Torreira termasuklah Lazio, Fiorentina dan Torino.

About MyGooners 905 Articles
Sekadar menulis mengisi masa lapang.

Be the first to comment