Status latihan pusat skuad kebangsaan.

FAM akan segerakan gerak kerja untuk skuad kebangsaan jalani latihan pusat.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyambut baik keputusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membenarkan pasukan negara menjalani kem latihan pusat dan akan segera melakukan gerak kerja termasuk mengadakan perbincangan bersama pelbagai pihak terlibat antaranya Majlis Sukan Negara (MSN).

Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata perbincangan bersama pasukan-pasukan Liga Malaysia (Liga-M) bagi tujuan penyediaan venue latihan dan pelepasan pemain turut akan diadakan dalam masa terdekat. 

“Dengan mengambil kira kem latihan pusat ini perlu diadakan secara kuarantin, kami perlu melakukan perancangan cukup teliti dalam mendapatkan persetujuan MSN terutama dari segi tempat tinggal dan juga kemudahan padang latihan sebelum dapat membuat ketetapan tarikh kem latihan pusat untuk diadakan.

Banyak perkara lain turut perlu dipertimbangkan antaranya pelepasan pemain memandangkan kelab-kelab Liga-M juga dalam persiapan menjelang sepak mula Liga Super dan Liga Premier 2021 pada penghujung Februari. Kami akan maklumkan dalam masa terdekat ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam kenyataannya mengesahkan skuad Harimau Malaya diberi kebenaran menjalani kem latihan pusat menggunakan pendekatan kuarantin di Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil, dalam masa terdekat.

Menurut Reezal, MSN mempunyai fasiliti dan kemudahan yang sesuai untuk melakukan persiapan  menjelang pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 pada Mac depan.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe bakal bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Abu Dhabi pada 25 Mac  dan Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 30 Mac.

BERNAMA

About MyGooners 906 Articles
Sekadar menulis mengisi masa lapang.

Be the first to comment