Chelsea mempamerkan aksi cukup meyakinkan apabila membelasah Charlton dalam saingan Liga Super Wanita England untuk kembali menduduki tangga teratas liga.
Skuad kendalian Sonia Bompastor tidak menunggu lama untuk menguasai permainan apabila berjaya menghasilkan empat jaringan dalam tempoh 19 minit pertama.
Nathalie Bjorn membuka tirai jaringan pada minit ketiga menerusi tandukan sebelum Melvine Malard menggandakan kelebihan Chelsea selepas penjaga gol Charlton gagal mengawal bola dengan baik.
Ellie Carpenter kemudian menambah gol ketiga hasil tindakan pantas menyambar bola muntah daripada percubaan Lauren James.
Malard sekali lagi menemui sasaran untuk menjadikan kedudukan 4-0, namun peluangnya melengkapkan hatrik tidak menjadi apabila satu lagi jaringan dibatalkan kerana ofsaid.
Chelsea terus menambah derita Charlton pada babak kedua menerusi jaringan Aggie Beever-Jones dan Giulia Dragoni untuk melengkapkan kemenangan besar.
Keputusan itu membolehkan Chelsea berkongsi mata dengan Manchester City, namun berada di hadapan berdasarkan kelebihan perbezaan jaringan. Charlton pula terus berada di dasar liga tanpa sebarang mata selepas lapan perlawanan.