FIFA kini berdepan tekanan daripada badan bola sepak Eropah, UEFA berhubung kontroversi cadangan penjualan kepentingan dalam Piala Dunia kepada pelabur swasta.
Badan induk bola sepak dunia itu memaklumkan bahawa beberapa dokumen penting berkaitan cadangan berkenaan akan diberikan kepada ahli majlis FIFA untuk diteliti.
Bagaimanapun, akses terhadap dokumen tersebut hanya dibenarkan secara bersemuka di ibu pejabat FIFA di Zurich, Switzerland dan tertakluk kepada peraturan kerahsiaan yang ketat.
Perkara itu timbul selepas UEFA sebelum ini memberikan tempoh sehingga 2 November kepada FIFA untuk menjelaskan lebih 100 persoalan berkaitan cadangan FIFA Forward Enterprise (FFE), termasuk proses membuat keputusan dan aspek pentadbiran.
Presiden FIFA, Gianni Infantino sebelum ini sudah memohon maaf berhubung cadangan yang dibatalkan itu, namun UEFA masih belum berpuas hati kerana beberapa persoalan utama belum dijawab.
Keadaan turut menjadi rumit apabila UEFA mengambil tindakan undang-undang di Amerika Syarikat pada Oktober lalu bagi mendapatkan dokumen dan bukti berkaitan isu tersebut.
Isu ini dijangka terus menjadi perhatian menjelang pemilihan presiden FIFA tahun depan, dengan Infantino perlu berdepan penelitian terhadap kepimpinannya susulan kontroversi berkenaan.