Johor Darul Ta’zim (JDT) berpeluang mengukuhkan kedudukan dalam kempen Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) apabila melayan kunjungan Port FC dari Thailand di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, pada jam 6 petang ini.
Harimau Selatan kini mengumpul empat mata selepas seri 1-1 menentang Buriram United sebelum mencatat kemenangan 2-0 ke atas Pohang Steelers di Korea Selatan. Keputusan itu turut menyambung momentum positif JDT yang memenangi lima perlawanan terakhir dalam semua pertandingan.
Dalam aksi menentang Pohang, Marcos Guilherme muncul watak penting apabila menjaringkan dua gol untuk memastikan kemenangan pasukan kendalian Xisco Munoz. JDT bagaimanapun perlu mencari penyelesaian di bahagian pertahanan apabila Eddy Israfilov masih menjalani penggantungan dua perlawanan susulan kad merah.
Port FC pula berdepan tugas sukar selepas tewas dalam dua perlawanan awal ACLE, termasuk kekalahan besar 5-1 kepada Kashiwa Reysol. Walaupun prestasi mereka di pentas Asia kurang memberangsangkan, kelab Thailand itu sedang mendahului Liga Thailand dengan 15 mata.
Cabaran Port bertambah apabila dua pemain utama, Kaka Mendes dan Matheus Lins, tidak dapat beraksi akibat kecederaan. Namun, ketua jurulatih Bozidar Bandovic tetap mahu pasukannya memberikan saingan dan cuba membawa pulang mata dari Iskandar Puteri.
Bandovic mengakui JDT mempunyai barisan pemain berkualiti serta kekuatan dalam aspek menyerang dan bertahan. Beliau turut menyebut Harimau Selatan memiliki kelebihan dari segi rehat sehari lebih lama, sedangkan jadual padat dan perjalanan jauh memberi kesan kepada persiapannya. Perlawanan ini menjadi peluang buat JDT meneruskan prestasi baik, sementara Port perlu bangkit untuk menghidupkan peluang mereka dalam saingan Asia.