Skuad Bawah 15 Tahun (B-15) negara terpaksa melupakan hasrat untuk melangkah lebih jauh selepas tewas 2-6 kepada Afrika Selatan dalam saingan Piala Dunia B-15 2026.
Kekalahan itu menyaksikan Malaysia gagal mara ke pusingan seterusnya bagi menentukan kedudukan tempat ke-33 hingga ke-48 kejohanan.
Afrika Selatan memulakan perlawanan dengan cukup garang apabila menjaringkan dua gol seawal minit ketiga dan keempat.
Malaysia cuba bangkit menerusi sepakan penalti pada minit ketujuh, namun lawan kembali menambah jaringan pada minit kesembilan untuk mendahului 3-1 ketika rehat.
Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan saling menghasilkan gol. Malaysia berjaya menambah satu jaringan, tetapi Afrika Selatan lebih menyerlah dengan tiga gol tambahan.
Keputusan 6-2 kekal sehingga tamat perlawanan, sekali gus memberikan kelebihan kepada wakil Afrika Selatan.
Skuad kendalian P. Maniam kini menunggu keputusan pertemuan Portugal menentang Jamaica untuk mengetahui lawan seterusnya dalam perebutan tempat ke-49 hingga ke-64.