Kylian Mbappe berdepan kesan besar selepas dua syarikat utama China menamatkan kerjasama penajaan dengannya susulan video yang didakwa memaparkan beliau bergurau mengenai bekas pemimpin negara itu, Mao Zedong.
Dua syarikat terbabit ialah Dongpeng, pengeluar minuman, dan Mengniu, antara pengeluar produk tenusu terbesar di China. Kedua-duanya mengumumkan penamatan kerjasama dengan penyerang Real Madrid itu berkuat kuasa serta-merta.
Dongpeng menegaskan pihaknya tidak bertolak ansur terhadap sebarang tindakan yang dianggap menghina perasaan rakyat China. Mengniu turut menyatakan pendirian sama selepas kenyataan Mbappe mencetuskan kontroversi.
Isu itu bermula apabila sebuah video tersebar di internet, memaparkan Mbappe menyebut meme internet yang dianggap lucu kerana wajahnya disunting pada gambar seorang pemimpin diktator China. Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada meme yang menggabungkan wajah pemain berusia 27 tahun itu dengan imej Mao.
Bagaimanapun, kesahihan video berkenaan belum dapat disahkan secara bebas oleh AFP Fact Check. Walaupun begitu, isu tersebut pantas menjadi perbualan hangat di media sosial China, termasuk Weibo, apabila ramai pengguna mengkritik kenyataan yang dikaitkan dengan Mbappe.
Sebelum kontroversi itu tercetus, Mbappe mempunyai ramai peminat di China dan dikenali dengan gelaran “Guigui”, yang bermaksud kura-kura dalam bahasa Cina. Imej beliau juga pernah digunakan dalam iklan minuman Dongpeng, namun kontroversi terbaharu itu kini menjejaskan hubungan komersialnya dengan dua jenama berkenaan.