SLOT LIVERPOOL KE LIGA JUARA-JUARA KINI TERANCAM
EPL UTAMA

SLOT LIVERPOOL KE LIGA JUARA-JUARA KINI TERANCAM

FabriMan 16 May 2026 303 tontonan 4 min baca
Dalam sidang media selepas perlawanan, ketua jurulatih Arne Slot mengakui bahawa kekalahan ini adalah satu tamparan yang sangat merosakkan plan pasukan. Beliau melahirkan rasa kecewa kerana pasukannya gagal memanfaatkan peluang dan melakukan kesilapan yang sama berulang kali terutamanya dalam mempertahankan situasi bola mati.

Harapan Liverpool untuk mengesahkan tempat ke saingan Liga Juara-Juara musim depan menerima tamparan hebat selepas tewas 4-2 kepada Aston Villa dalam perlawanan away terakhir mereka musim ini. Kekalahan di Villa Park pada malam Jumaat itu menyaksikan skuad kendalian Arne Slot jatuh ke tangga kelima liga. Situasi ini memaksa The Reds untuk mencatatkan kemenangan wajib dalam perlawanan terakhir menentang Brentford di Anfield minggu hadapan sekiranya mahu menentukan nasib mereka sendiri.

Perlawanan bermula sengit dengan pasukan tuan rumah yang sedang bersiap sedia menghadapi final Liga Europa mepamerkan aksi bertenaga menerusi ancaman awal Ollie Watkins. Bagaimanapun, Liverpool mula mendapat rentak permainan menerusi kelincahan pemain muda, Rio Ngumoha, yang sering mencetuskan huru-hara di benteng pertahanan Villa. Skuad pelawat hampir mendahului perlawanan namun jaringan Cody Gakpo dibatalkan oleh pengadil kerana berada dalam kedudukan ofsaid selepas beliau memanfaatkan bola muntah tangkapan Emiliano Martinez.

Kebuntuan gol akhirnya dipecah oleh Aston Villa tiga minit sebelum tamat babak pertama menerusi satu strategi sepakan penjuru pendek yang licik. Lucas Digne melakukan hantaran lintang tepat ke dalam kotak penalti yang mencari Morgan Rogers yang tidak dikawal. Rogers tidak mensia-siakan peluang tersebut apabila melepaskan rembatan yang menewaskan penjaga gol Liverpool, Giorgi Mamardashvili sekali gus meletakkan Villa mendahului 1-0 sebelum rehat.

Memasuki babak kedua, Liverpool bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-52 hasil daripada situasi bola mati. Dominik Szoboszlai membuat sepakan percuma cantik dari sebelah kanan yang terus menuju ke far post, di mana kapten pasukan, Virgil van Dijk, melompat tinggi untuk menanduk masuk gol penyamaan. Kegembiraan Liverpool bagaimanapun tidak bertahan lama apabila Ngumoha menyaksikan rembatannya sekadar menggegar tiang gol seminit sebelum Villa kembali memimpin perlawanan.

Malang menimpa Liverpool apabila kesilapan Szoboszlai yang tergelincir membolehkan Rogers merampas bola dan melorongkannya kepada Ollie Watkins. Penyerang berbisa Villa itu melakukan penyudah kemas pada minit ke-57 untuk menjadikan kedudukan 2-1. Tersentak dengan gol tersebut, jentera Liverpool kelihatan mula hilang momentum dan bergelut untuk mengekang asakan bertali-arus daripada jentera serangan tuan rumah yang beraksi dengan penuh keyakinan.

Watkins sekali lagi mencatatkan nama sebagai penjaring pada minit ke-73 selepas menyambar bola muntah hasil daripada tindakan menyelamat yang dilakukan oleh Mamardashvili. Keadaan menjadi lebih parah buat Liverpool apabila John McGinn meledak gol keempat Villa pada minit ke-89 menerusi satu rembatan lencong  yang cantik dari luar kotak penalti ke penjuru atas gol. Walaupun Van Dijk berjaya menanduk masuk gol kedua hasil hantaran Szoboszlai pada masa kecederaan, ia sudah terlambat untuk menghalang kemenangan mutlak Aston Villa.

Dalam sidang media selepas perlawanan, ketua jurulatih Arne Slot mengakui bahawa kekalahan ini adalah satu tamparan yang sangat merosakkan plan pasukan. Beliau melahirkan rasa kecewa kerana pasukannya gagal memanfaatkan peluang dan melakukan kesilapan yang sama berulang kali terutamanya dalam mempertahankan situasi bola mati. Slot menegaskan bahawa kelemahan dalam mengekang impak set-pieces telah menjadi punca utama pasukan apabila berhadapan dengan kelab setaraf seperti Manchester United, Chelsea dan Villa musim ini.

Slot bagaimanapun meminta para penyokong untuk tidak hilang keyakinan menjelang musim hadapan. Beliau menjelaskan bahawa faktor kecederaan sembilan pemain utama telah menjejaskan konsistensi pasukan secara drastik sepanjang musim ini. Beliau percaya dengan pembukaan jendela perpindahan musim panas yang bakal tiba serta proses adaptasi pemain baharu yang semakin meningkat, Liverpool mempunyai ruang yang sangat besar untuk bangkit semula dengan lebih kuat pada musim 2026/27.

Mengulas mengenai pilihan pemain bagi perlawanan penutup musim, Slot mengesahkan terdapat peluang untuk penyerang prolifik, Alexander Isak, kembali beraksi menentang Brentford. Isak yang mengalami kecederaan patah kaki sebelum ini dijangka akan mula menjalani latihan penuh minggu ini. Kehadiran Isak amat ditagih bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh seorang lagi penyerang, Hugo Ekitike yang terpaksa diketepikan akibat kecederaan jangka panjang.

Sementara itu, pertahanan Joe Gomez turut melahirkan rasa kecewa dan menyifatkan kekalahan ini sebagai gambaran kepada musim tidak konsisten yang dilalui oleh Liverpool. Gomez menegaskan bahawa kehilangan tumpuan pada saat-saat penting telah merugikan pasukan, walaupun mereka sempat mengawal permainan pada awal babak. Beliau menyeru rakan sepasukan untuk melupakan kekecewaan ini dan bersatu hati bagi memastikan kemenangan di Anfield pada hujung minggu depan demi penyokong tegar mereka.

Perlawanan di Villa Park itu juga mencatatkan detik emosi apabila penyerang legenda, Mohamed Salah, dimasukkan sebagai pemain gantian pada 15 minit terakhir sekali gus menandakan penampilan tempat lawan terakhir beliau buat kelab. Kini, dengan baki satu sahaja perlawanan menentang Brentford, seluruh kem Liverpool perlu mempamerkan kebangkitan drastik di laman sendiri bagi memastikan slot slot elit Eropah tidak terlepas daripada genggaman mereka.

Iklan

Tags

#liverpool vs aston villa #arne slot #virgil van dijk #ollie watkins

Kongsi artikel ini

Artikel Berkaitan

Lebih banyak cerita dari komuniti Arsenal

Iklan
MG

MyGooners Assistant

Tanya saya apa-apa!

MG

Halo! Saya adalah pembantu MyGooners. Saya boleh membantu anda dengan soalan tentang Arsenal, laman web ini, atau apa-apa sahaja! Apa yang anda ingin tahu?

MG
Soalan Popular: