Semua 24 perlawanan Piala Raja Sepanyol (Copa del Rey) yang dijadual berlangsung pada Rabu ditangguhkan susulan kemalangan kereta api yang mengorbankan sekurang-kurangnya 68 nyawa berhampiran Madrid.
Kemalangan itu berlaku di Toledo apabila dua tren yang membawa lebih 500 penumpang bertembung sebelum tergelincir dari landasan.
Persatuan Bola Sepak Diraja Sepanyol (RFEF) memutuskan penangguhan tersebut sebagai tanda penghormatan dan solidariti kepada mangsa serta keluarga mereka.
Antara pasukan yang sepatutnya beraksi dalam pusingan pertama ialah Levante, Alaves, Valencia, Celta Vigo dan Real Betis.
Kelab gergasi seperti Real Madrid, Barcelona dan Atletico Madrid pula hanya akan menyertai kejohanan pada pusingan 32 terbaik.
Beberapa kelab turut menyampaikan ucapan takziah kepada mangsa. Real Madrid juga menyatakan sokongan kepada pasukan penyelamat, manakala Barcelona mendoakan agar mangsa yang cedera segera pulih.
Bagaimanapun, perlawanan yang dijadual berlangsung pada Khamis masih diteruskan seperti biasa. RFEF belum mengumumkan jadual baharu bagi aksi yang ditangguhkan.