Kelab gergasi London, Tottenham Hotspur, dilaporkan berdepan risiko kehilangan bintang tengah mereka, Xavi Simons dengan harga yang jauh lebih rendah daripada nilai pasarannya jika gagal mengelakkan penyingkiran ke saingan Championship. Pemain antarabangsa Belanda itu kini menjadi tumpuan selepas mempamerkan aksi memukau namun situasi kelab yang meruncing di zon penyingkiran memaksa pihak pengurusan mempertimbangkan jualan rugi pada jendela perpindahan akan datang.
Simons baru-baru ini kembali mendapat kepercayaan penyokong Spurs selepas meledak gol cantik melalui rembatan melencong ketika menentang Brighton & Hove Albion. Walau bagaimanapun, gol kedua peribadinya dalam saingan Liga Perdana Inggeris itu gagal memberikan kemenangan selepas Brighton menyamakan kedudukan pada masa kecederaan melalui Georginio Rutter sekali gus meletakkan Spurs dalam bahaya besar untuk tersingkir dari liga elit tersebut.
Sejak berhijrah dari RB Leipzig dengan nilai perpindahan mencecah £52 juta, Simons dianggap belum mencapai tahap prestasi yang diharapkan sepenuhnya. Namun, kualiti individu yang dimilikinya tetap menarik perhatian banyak kelab besar Eropah yang kini sedang memantau rapat perkembangan di Stadium Tottenham Hotspur. Jika skuad kendalian Roberto De Zerbi gagal kekal di EPL, Simons dijangka menjadi pemain pertama yang akan mencari jalan keluar.
Menurut laporan media Sepanyol, Fichajes, Simons mungkin boleh ditandatangani dengan nilai sekitar £26 juta sahaja sekiranya Spurs sah tersingkir. Nilai tersebut dianggap sebagai satu kerugian besar buat kelab memandangkan mereka baru sahaja mendapatkan khidmat pemain perancang itu setahun yang lalu. Keadaan kewangan kelab yang bakal terjejas akibat kejatuhan liga tidak memberikan banyak pilihan selain melepaskan aset berharga dengan harga "potong sekerap".
Laporan tersebut turut mendakwa bahawa beberapa kelab utama dari lima liga terbaik Eropah kini berada dalam keadaan berwaspada untuk menyambar peluang keemasan ini. Simons sendiri dikhabarkan terbuka untuk "bertukar angin" bagi meneruskan kariernya di peringkat tertinggi. Walau bagaimanapun, pendirian pemain itu dikatakan akan berubah sepenuhnya sekiranya Spurs berjaya melakukan keajaiban dan kekal dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim depan.
Kesan penyingkiran bukan sahaja akan menjejaskan kedudukan Simons malah beberapa lagi nama besar dalam pasukan juga dijangka akan meninggalkan kelab. Spurs kini terdesak untuk mengimbangi akaun mereka dan penjualan pemain bintang adalah satu-satunya jalan keluar untuk mengelakkan krisis kewangan yang lebih parah di peringkat divisyen kedua. Situasi ini meletakkan tekanan luar biasa kepada barisan pemain dalam baki perlawanan musim ini.
Setakat ini, Tottenham Hotspur menghuni tangga ke-18 liga dengan hanya berbaki lima perlawanan untuk dimainkan. Statistik menunjukkan skuad bimbingan De Zerbi masih belum mencatatkan sebarang kemenangan dalam saingan liga sepanjang tahun 2026, satu rekod yang amat membimbangkan bagi kelab yang sebelum ini sering mencabar kelompok empat teratas. Kegagalan meraih mata penuh dalam perlawanan-perlawanan kritikal sebelum ini telah mengheret mereka ke kancah perjuangan hidup mati.
Misi menyelamat Spurs akan diteruskan Sabtu ini apabila mereka dijadualkan berkunjung ke laman pasukan tercorot, Wolverhampton Wanderers. Kemenangan dalam aksi tersebut adalah wajib bagi menghidupkan peluang untuk terus kekal di divisyen utama. Seluruh penyokong kini mengharapkan Simons dapat terus konsisten menjaringkan gol dan menjadi penyelamat bagi mengelakkan kelab kesayangan mereka daripada tersungkur ke kancah Championship buat kali pertama dalam sejarah moden mereka.