HANYA TINGGAL 90 MINIT
EPL UTAMA

HANYA TINGGAL 90 MINIT

FabriMan 19 May 2026 93 tontonan 3 min baca
Kemenangan ini turut menyaksikan beberapa rekod domestik berjaya dileburkan di mana Bukayo Saka muncul sebagai pemain kedua termuda dalam sejarah liga yang berjaya mencecah rekod 50 gol dan 50 bantuan gol (60 gol, 50 assists), di belakang legenda Wayne Rooney. Selain itu, David Raya berjaya mencatatkan rekod bersih (clean sheet) ke-19 miliknya musim ini.

Arsenal kini berada di ambang untuk menamatkan penantian kejuaraan Liga Perdana Inggeris selama 22 tahun selepas mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Burnley dalam aksi terakhir di laman sendiri musim ini. Gol tunggal daripada Kai Havertz pada babak pertama sudah cukup untuk meletakkan The Gunners berkelebihan lima mata di puncak liga sekali gus meletakkan tekanan luar biasa ke atas pencabar terdekat, Manchester City yang diwajibkan menang menentang Bournemouth bagi mengheret persaingan takhta ke hari terakhir liga.

Pengendali Arsenal, Mikel Arteta, terpaksa melakukan rombakan terhadap kesebelasan utamanya buat kali pertama dalam empat perlawanan ekoran kecederaan lutut serius yang menimpa Ben White ketika menentang West Ham United. Tempat beliau di posisi bek kanan diisi oleh Cristhian Mosquera. Selain itu, kapten Martin Odegaard kembali disenaraikan dalam kesebelasan utama bersama-sama Havertz manakala Myles Lewis-Skelly dan penyerang prolifik, Viktor Gyokeres, terpaksa memulakan perlawanan dari bangku simpanan.

Sebaliknya, pengurus interim Burnley, Michael Jackson memilih untuk mengekalkan barisan pemain yang sama ketika mencatatkan keputusan seri 2-2 menentang Aston Villa minggu lalu biarpun status penyingkiran mereka ke saingan Championship telah pun disahkan lebih awal. Penjaga gol muda berusia 21 tahun, Max Weiss terus diberikan kepercayaan untuk mengawal gawang pasukannya, mengetepikan penjaga gol veteran berpengalaman, Martin Dubravka, yang sekadar memanaskan bangku simpanan.

Arsenal memulakan perlawanan dengan penguasaan mutlak sejak minit pertama, mencerminkan perbezaan ketara antara pasukan pemburu takhta dan kelab yang belum mencatatkan sebarang kemenangan dalam 27 aksi liga terdahulu. Peluang keemasan pertama tuan rumah hadir pada minit ke-14 menerusi Leandro Trossard yang melepaskan rembatan kencang selepas melakukan hantaran satu dua bersama Ebere Eze, namun usaha bertenaga pemain sayap Belgium itu sekadar menggegarkan tiang gol.

Asakan bertali-arus Arsenal sepatutnya membuahkan hasil pada minit ke-33 apabila Havertz melakukan hantaran lintang rendah kepada Bukayo Saka sebelum dijatuhkan dari belakang oleh Lucas Pires di dalam kotak penalti. Walaupun ulang tayang menunjukkan jelas tanpa menyentuh bola, rayuan penalti Arsenal ditolak oleh penilaian VAR. Bagaimanapun, kekecewaan itu tidak bertahan lama apabila Havertz menebusnya tiga minit kemudian menerusi tandukan hasil sepakan penjuru Saka untuk meledakkan sorakan kelegaan di seluruh stadium.

Memasuki babak kedua, ketegangan mula menyelubungi stadium apabila Arsenal gagal menemui gol kedua untuk membunuh perlawanan lebih awal. Eze yang beraksi lincah hampir menggandakan kelebihan tuan rumah selepas menerima hantaran lintang Mosquera namun sepakan volinya melantun ke atas palang gol sebelum satu lagi cubaan tandukannya terbias pada badan pertahanan Burnley, Maxime Esteve. Havertz juga terselamat daripada layangan kad merah selepas semakan VAR mengekalkan hukuman kad kuning ekoran terjahan kerasnya ke atas Lesley Ugochukwu.

Burnley cuba memanfaatkan kelebihan fizikal mereka pada minit-minit terakhir perlawanan termasuk aksi agresif Zian Flemming yang menjatuhkan penjaga gol David Raya di udara dalam situasi bola mati. Pengadil juga terpaksa memberikan masa kecederaan selama tujuh minit namun benteng pertahanan Arsenal mempamerkan kematangan serta ketahanan mental yang tinggi untuk mempertahankan kedudukan 1-0 sehingga wisel penamat dibunyikan.

Kemenangan ini turut menyaksikan beberapa rekod domestik berjaya dileburkan di mana Bukayo Saka muncul sebagai pemain kedua termuda dalam sejarah liga yang berjaya mencecah rekod 50 gol dan 50 bantuan gol (60 gol, 50 assists), di belakang legenda Wayne Rooney. Selain itu, David Raya berjaya mencatatkan rekod bersih (clean sheet) ke-19 miliknya musim ini sekali gus menyamai rekod legenda kelab, David Seaman, yang pernah dilakukan pada musim 1933/94 dan 1998/99.

Arteta mengakui bahawa kemenangan tipis 1-0 ini amat mendebarkan dan tidak baik untuk kesihatan jantungnya namun beliau memuji kematangan anak buahnya sepanjang musim ini. Kini, seluruh fokus pasukan bakal dialihkan sepenuhnya kepada aksi penutup menentang Crystal Palace di Selhurst Park pada hari Ahad ini demi mengesahkan gelaran juara sebelum terbang ke Budapest untuk menghadapi final Liga Juara-Juara UEFA menentang Paris Saint-Germain pada 30 Mei.

Iklan

Tags

#arsenal vs burnley #kai havertz goal #bukayo saka record #mikel arteta #liga perdana 2026

Kongsi artikel ini

Artikel Berkaitan

Lebih banyak cerita dari komuniti Arsenal

Iklan
MG

MyGooners Assistant

Tanya saya apa-apa!

MG

Halo! Saya adalah pembantu MyGooners. Saya boleh membantu anda dengan soalan tentang Arsenal, laman web ini, atau apa-apa sahaja! Apa yang anda ingin tahu?

MG
Soalan Popular: