Jonathan Vidalle, ketua pencari bakat Arsenal di Amerika Selatan, mengaku dia masih belum jumpa pengganti Alexis Sanchez - pemain yang dianggap paling “berapi” pernah lahir dari Chile.
Dalam dunia pencarian bakat bola sepak, nama Alexis Sanchez masih jadi penanda aras - terutama di Arsenal. Walaupun sudah bertahun meninggalkan Emirates, semangat dan “api” pemain Chile itu terus hidup dalam mata para pencari bakat The Gunners.
Kini, selepas hampir 15 tahun menjejak pemain muda di Amerika Selatan, ketua scout Arsenal, Jonathan Vidalle, mengaku misi mencari “pengganti Alexis” masih belum selesai.
Dalam satu temubual bersama ADN Deportes, beliau bercerita terus terang tentang kemerosotan bakat bola Chile - dan betapa sukarnya nak jumpa lagi pemain dengan jiwa dan mentaliti sehebat Sanchez.
“Chile adalah antara negara yang saya pantau.
"Saya nak sangat bawa satu lagi Alexis ke Arsenal… tapi mereka kena banyak perbaiki dulu,” katanya jujur.
“Kualiti pemain muda di sana dah tak macam dulu. Jurulatih mereka serius dan profesional, tapi ada sesuatu yang tak menjadi.”
Vidalle bukan sekadar bercakap kosong. Beliau sendiri punya sejarah rapat dengan bola Chile - termasuk menemui Marcelo Allende, bakat muda yang pernah dibawa ke London untuk sesi latihan di bawah pemantauan Arsenal.
Ketika itu, Allende masih berusia 17 tahun dan dibimbing terus oleh Sanchez.
“Marcelo sangat bijak dan berbakat.
"Masa saya jumpa dia dulu, dia ingatkan saya pada Santi Cazorla – kecil, teknikal, tapi penuh idea,” jelasnya.
Namun bagi Vidalle, bola sepak moden kini menuntut lebih daripada sekadar teknik.
“Sekarang pemain tengah semua ‘beast’.
"Macam Martín Zubimendi, tak tinggi pun, tapi cukup kuat dan sesuai dengan pasukan yang banyak pegang bola.
"Pemain macam Allende boleh berjaya kalau sistemnya betul.”
Tentang Sanchez sendiri, tiada siapa menafikan pengaruhnya di Arsenal.
“Dia luar biasa.
"Sentiasa beri segalanya.
"Seorang profesional sejati dan pemenang sejati.
"Saya masih kesal bila dia kalah final bersama Manchester United lawan Chelsea pada 2019,” tambah Vidalle.
Scout yang pernah berkhidmat lebih sedekad bersama Arsenal itu mengakhiri wawancara dengan satu kenyataan yang mencerminkan rasa rindu terhadap ‘jiwa bola sebenar’:
“Alexis istimewa. Dia ada lapar, ada api. Itu yang hilang dalam ramai pemain muda sekarang.”
Bagi Vidalle, misi mencari bakat setaraf Sanchez bukan sekadar soal bakat - tapi soal jiwa, kerja keras dan keberanian untuk jadi luar biasa.