Pencari bakat Arsenal dedah kisah pemain yang terlepas dan rahsia jentera pencarian bakat The Gunners

Jonathan Vidalle mungkin bukan nama yang selalu terpampang di dada akhbar, tetapi dia adalah antara individu penting di sebalik kejayaan Arsenal dalam memburu bakat-bakat baharu dari benua Amerika Selatan.
Bekas pemain yang pernah beraksi di Chile bersama Provincial Osorno pada hujung 90-an ini, kini mengetuai operasi pencarian bakat Arsenal di rantau tersebut. Dalam satu temubual eksklusif bersama ADN Deportes, Vidalle membuka cerita bagaimana kelab besar seperti Arsenal menilai dan memilih pemain dari hujung dunia.
Dari Osorno ke Emirates – perjalanan seorang pencari bakat
Selepas menggantung but, Vidalle menyertai jabatan teknikal Boca Juniors sebelum akhirnya direkrut oleh Arsenal lebih sedekad lalu. Antara penemuan pentingnya ialah Marcelo Allende, bakat muda Chile yang pernah dibawa ke London pada 2016 untuk berlatih bersama legenda Alexis Sanchez.
Namun, Vidalle akui kerjanya bukan semudah menonton video atau membaca data. Bagi dia, mata dan naluri manusia masih belum boleh digantikan teknologi.
“Sekarang makin banyak alat dan statistik untuk rumuskan pemain.
"Tapi saya tetap percaya pada naluri sendiri.
"Sebagai bekas pemain bola, saya suka tengok perlawanan secara langsung - tengok bagaimana budak itu beraksi, bagaimana dia hadapi tekanan dan suasana stadium.”
“Tak boleh tengok dua kali terus buat keputusan”
Bagi Vidalle, menilai pemain bukan kerja sehari. Ia memerlukan pemerhatian jangka panjang dan pemahaman mendalam terhadap keperluan pasukan.
“Kita tak boleh tengok seorang pemain sekali dua dan terus kata dia bagus.
"Mereka manusia – ada hari baik, ada hari buruk.
"Kena kumpul semua maklumat, analisis prestasi, baru tentukan sama ada dia sesuai untuk gaya permainan pasukan.”
Beliau turut jelaskan bahawa setiap pencarian bakat di Arsenal mesti berpaksikan kepada kehendak Mikel Arteta.
“Kalau saya cari penyerang No.9, saya dah tahu macam mana cara Arsenal bermain.
"Saya tahu apa ciri yang Arteta nak – dari teknik, kecerdasan taktikal sampai ke kesediaan fizikal untuk saingan sekeras Premier League.”
“Saya buat 56 laporan tentang dia” – kisah Thiago Almada yang terlepas
Antara kisah paling menarik yang dikongsi Vidalle ialah tentang Thiago Almada, pemain yang kini menyinar di Atletico Madrid.
“Saya buat 56 laporan tentang dia. Saya dah kenal dia sejak dia umur bawah 15 tahun. Saya memang minat gaya permainannya. Tapi dari segi fizikal, dia mungkin bukan jenis yang ideal untuk Premier League. Kadang-kadang memang rasa kecewa bila pemain yang kita jumpa berjaya di tempat lain — tapi itulah lumrah kerja ini.”
“Ada ejen yang bantu, tapi ramai juga yang rosakkan pemain muda”
Vidalle tak berselindung bila menyentuh isu ejen dan agensi bola sepak yang terlalu awal memberi kemewahan kepada pemain muda.
“Ada wakil yang benar-benar mahu bantu pemain, tapi ada juga yang buat mereka hilang lapar kejayaan.
"Ada budak umur 14 atau 15 tahun, dah dapat duit banyak walaupun belum capai apa-apa.
"Secara tak sedar, motivasi mereka nak rebut tempat dalam pasukan utama mula hilang.”
Dari naluri ke data – cara baharu Arsenal menilai bakat
Vidalle turut mendedahkan betapa terperincinya laporan yang dihasilkan oleh pasukan pencarian bakat Arsenal masa kini.
“Di Piala Dunia B-20 di Argentina, dua rakan saya buat laporan setebal 8-9 muka surat tentang Declan Rice.
"Terperinci macam laporan risikan.
"Ada analisis tentang umur, tahap fokus, perubahan konsentrasi masa perlawanan - sangat mendalam.
"Sekarang semuanya begitu. Pangkalan data lama dah tak cukup lagi.”
Struktur global Arsenal yang tersusun
Beliau turut menjelaskan bagaimana jentera pencarian bakat Arsenal kini beroperasi secara global dan sistematik.
“Kami ada 8 pemantau khusus untuk pasukan utama, meliputi seluruh dunia.
"Lepas tu ada 14 orang penganalisis video yang tengok sekurang-kurangnya tiga perlawanan setiap hari dari mana-mana liga.
"Tambahan pula, ada 4 atau 5 orang lagi yang fokus kepada pemain remaja di UK.”
Gabungan teknologi, naluri dan pengalaman
Walaupun teknologi kini memainkan peranan besar, Vidalle percaya bahawa elemen manusia tetap jadi nadi utama.
“Data boleh bantu, tapi bola sepak tetap permainan manusia.
"Kadang-kadang kau tengok budak tu main - cara dia berjalan, cara dia pandang bola - dan kau tahu dia ada sesuatu.
"Itu takkan dapat dari algoritma.”
Dari Amerika Selatan ke London – misi mencari permata seterusnya
Kisah Jonathan Vidalle membuktikan bahawa jentera pencarian bakat Arsenal bukan sekadar bergantung pada komputer, tetapi pada mata, hati dan pengalaman manusia yang benar-benar faham bola sepak.
Dalam dunia di mana pemain muda semakin dilimpahi kemewahan dan tekanan, tugas seperti yang digalas Vidalle jadi semakin penting - mencari bukan sekadar pemain berbakat, tapi jiwa yang sesuai untuk memakai jersi merah putih Arsenal.
Ditulis oleh MyGooners | Inspirasi dari ADN Deportes
#MyGooners #ArsenalScouting #SouthAmerica #ArtetaBall #ThiagoAlmada #DeclanRice #COYG