Manchester United telah mengesahkan bahawa pemain pertahanan pertahanan kiri, Tyrell Malacia bakal meninggalkan kelab sebagai ejen bebas sebaik sahaja kontraknya tamat pada penghujung kempen 2025/26 ini. Pemain kebangsaan Belanda itu melalui tempoh karier yang amat sukar di Old Trafford akibat masalah kecederaan berpanjangan, menyaksikan beliau hanya sempat membuat dua penampilan bersama skuad senior sepanjang musim ini. Keputusan melepaskan Malacia secara percuma ini memberi isyarat jelas mengenai pelan penjimatan bajet gaji kelab serta permulaan kepada fasa rombakan skuad secara besar-besaran.
Menerusi satu kenyataan rasmi, pengurusan Red Devils merakamkan ucapan penghargaan atas segala usaha yang dicurahkan oleh Malacia sejak berhijrah dari Feyenoord pada Julai 2022 dengan rekod keseluruhan 49 penampilan. Pemain berusia 24 tahun itu, yang sempat dipinjamkan ke PSV Eindhoven musim lepas, hanya diturunkan sebanyak dua kali musim ini sebagai pemain gantian. Kedua-duanya dalam aksi menentang Newcastle United. Malacia sempat berada di bangku simpanan buat kali terakhir ketika United mencatatkan kemenangan dramatik 3-2 ke atas Nottingham Forest dalam perlawanan terakhir di laman sendiri.
Karier Malacia di Manchester menjadi contoh bagaimana isu kecederaan boleh meranapkan potensi besar seorang pemain muda di peringkat tertinggi. Selepas mempamerkan aksi debut yang meyakinkan sebagai pencabar posisi Luke Shaw pada musim pertamanya, beliau kemudian 'hilang' daripada radar skuad utama ekoran siri pembedahan dan program rehabilitasi yang panjang. Walaupun pihak kelab memberikan komitmen dan kesabaran yang tinggi sepanjang proses pemulihan tersebut, faktor kekangan kecergasan yang tidak konsisten akhirnya memaksa jawatankuasa pengambilan pemain United untuk beralih arah bagi mencari alternatif baharu.
Penghormatan khas turut diberikan oleh pengurus interim, Michael Carrick yang sempat menitipkan kata-kata semangat buat Malacia ketika memberikan ucapan penghargaan di hadapan ribuan penyokong di Old Trafford selepas tamat perlawanan menentang Forest. Carrick mendedahkan bahawa beliau telah bercakap secara peribadi bersama barisan pemain mengenai dugaan berat yang dilalui Malacia akibat kecederaan sambil menyeru para peminat setia kelab untuk terus memberikan sokongan moral yang padu kepada pemain pertahanan tersebut bagi membina semula kariernya di destinasi baharu.
Malacia bukanlah satu-satunya nama besar yang bakal mengucapkan selamat tinggal kepada Theater Of Dream dalam misi Carrick membentuk semula acuan pasukannya sendiri bagi musim 2026/27. Pemain tengah veteran, Casemiro turut disahkan bakal menamatkan jodohnya bersama United sebaik sahaja kontraknya tamat pada musim panas ini. Selain itu, penyerang muda Denmark, Rasmus Hojlund, turut mengesahkan perpindahan tetapnya ke kelab Serie A, Napoli,selepas melalui tempoh pinjaman yang cemerlang di Itali sekali gus memberikan suntikan dana yang besar buat United untuk membeli pemain baharu.
Di atas padang, Manchester United berjaya mengesahkan kedudukan di tangga ketiga liga hasil kemenangan 3-2 ke atas Forest. Perlawanan tersebut turut menyaksikan perancang utama, Bruno Fernandes, melakar sejarah menyamai rekod legenda liga, Kevin De Bruyne dan Thierry Henry sebagai pemain yang berjaya mencatatkan 20 bantuan gol (assists) dalam satu musim Liga Perdana. Selepas perlawanan penutup tirai menentang Brighton minggu hadapan, tumpuan penuh seluruh pengurusan kelab akan dialihkan sepenuhnya kepada strategi pemburuan pemain baharu di pasaran perpindahan.