Jakub Kiwior nampaknya cepat menyesuaikan diri bersama FC Porto selepas menyertai kelab Portugal itu dari Arsenal menerusi pinjaman dengan opsyen pembelian tetap musim panas lalu.

Pertahanan tengah dari Poland itu telah beraksi dalam tiga perlawanan setakat ini dan membentuk gandingan mantap bersama rakan senegara, Jan Bednarek. Lebih mengagumkan, Porto mencatatkan tiga clean sheet berturut-turut dalam tiga aksi tersebut.
Dalam aksi terbaru pada Khamis lalu, Kiwior dan Bednarek sekali lagi mencuri tumpuan apabila membantu Porto meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Red Bull Salzburg dalam saingan Liga Europa. Persembahan duo pertahanan Poland itu menjadi bualan hangat di negara asal mereka dan juga Portugal.
Menurut portal Meczyki.pl, perlawanan menentang Salzburg adalah ujian paling sukar buat Kiwior dan Bednarek setakat ini – namun Kiwior menunjukkan prestasi yang cukup cemerlang. Antara momen penting ialah tindakannya melakukan clearance penting yang menghalang Salzburg daripada menjaringkan gol.
Pemain pinjaman Arsenal itu mencatat statistik 100% kemenangan dalam semua perebutan bola, serta 100% kadar kejayaan tackle. Malah, beliau turut mencatatkan bilangan hantaran terbanyak (100 hantaran) dengan 93% ketepatan.

Pengulas bola sepak Poland, Marcin Gazda, turut memuji persembahan Kiwior dan Bednarek:
“Satu persembahan sempurna oleh duo pertahanan Poland,” katanya ringkas namun padat.
Akhbar sukan Portugal, A Bola, turut memberikan rating 7/10 kepada Kiwior – markah tertinggi bersama Bednarek dan William Gomes.
Mengulas aksi menentang Salzburg, A Bola menggambarkan gandingan Kiwior-Bednarek sebagai “seakan-akan kembar” yang memahami gerakan masing-masing.
“Separuh masa pertama yang cemerlang, penuh intensiti dan aksi dominan, menyekat laluan mudah Diogo Costa ke arah gol,” lapor mereka.
Selepas perlawanan, Kiwior berkata kepada Sport TV (dipetik semula oleh A Bola edisi Jumaat):
“Malam yang hebat kerana kami menang, tapi ia perlawanan yang sangat sukar. Kami sangat gembira dengan kemenangan ini. Kami beraksi sebagai satu pasukan dan berjaya menang di saat akhir.”
Melihat kepada prestasi konsisten ini, tidak mustahil Arsenal akan mula rasa kesal melepaskan Kiwior – terutama jika dia terus menyerlah di Portugal.