Norgaard hampir panik bila tahu The Gunners nak dia.
Christian Norgaard mendedahkan dia hampir panik bila dapat tahu Arsenal berminat untuk membawanya ke Emirates pada musim panas lalu - satu perpindahan yang langsung tak dijangka ramai peminat bola sepak England.
Dalam temu bual eksklusif bersama Ekstra Bladet, pemain tengah berusia 31 tahun itu menceritakan detik luar biasa ketika namanya dikaitkan dengan pasukan gergasi London tersebut.
Norgaard, yang sebelum ini menjadi tulang belakang Brentford sejak 2019, menyertai Arsenal dalam perjanjian bernilai €11.6 juta (RM59 juta) - langkah yang mengejutkan ramai pemerhati bola sepak memandangkan usianya dan reputasi Arsenal yang kini fokus pada pemain muda berprofil tinggi seperti Martin Zubimendi dan Eberechi Eze.
Namun, segalanya berpunca daripada Mikel Arteta sendiri, yang menilai pemain Denmark itu sebagai watak penting untuk memperkukuh jentera tengah The Gunners.
"Aku fikir, alamak… Arsenal call!”
Norgaard menceritakan saat dia mendapat tahu tentang minat Arsenal.
“Aku pertama kali dengar tentang Arsenal sebelum perlawanan terakhir Brentford menentang Wolves,” katanya.
“Masa tu aku tengah duduk dengan seorang kawan di rumah.
"Agen aku call, tapi aku kata nanti dululah.
"Lepas tu dia hantar mesej, ‘boleh kita bercakap sekejap? Arsenal dah call.’”
Norgaard mengakui dia terus menghubungi agennya selepas itu dan perbualan seterusnya membuka peluang keemasan yang tak mungkin ditolak.
“Kawan aku pun rasa benda ni gila. Aku cakap pada dia, kita kena buat apa saja untuk capai ni. Ini peluang yang terlalu besar untuk dilepaskan,” jelasnya.
“Aku sebenarnya dah selesa di Brentford, baru tandatangan kontrak dua tahun. Jadi bila Arsenal datang, memang terkejut habis.”
Arteta kagum dengan persembahan Nørgaard
Menurut Norgaard, perpindahan itu banyak digerakkan oleh Arteta sendiri, yang sudah lama memerhatikan prestasinya ketika menentang Arsenal.
“Arteta rasa aku main sangat baik bila lawan mereka dan juga secara keseluruhan di Brentford. Dia nampak sesuatu dalam cara aku bermain,” katanya.
“Aku tahu aku takkan main setiap minggu, tapi aku juga tahu peranan aku dalam pasukan ni.”
Dari Bees ke The Gunners
Sepanjang bersama Brentford, Norgaard membuat 196 penampilan, menjaringkan 13 gol dan mencipta 18 bantuan jaringan.
Dengan reputasi sebagai pemain tengah berdisiplin, bijak membaca permainan dan keras dalam tackle, Norgaard kini menjadi salah satu ‘senjata taktikal’ Arteta, khususnya bila Arsenal mahu mengekalkan tempo dan kestabilan dalam perlawanan besar.
Dia menandatangani kontrak hingga 2027, dengan pilihan lanjutan setahun lagi, menjadikannya antara pemain paling berpengalaman dalam skuad muda Arsenal musim ini.
“Aku sangat gembira jadi sebahagian dari Arsenal”
Mengakhiri temubualnya, Norgaard meluahkan rasa syukur dapat peluang beraksi di bawah kendalian Arteta.
“Ia memang kejutan besar untuk aku, tapi aku sangat gembira berada di sini.
"Pemain yang lebih tua macam aku mungkin tak dibayar setinggi pemain muda, tapi bagi aku — pengalaman ni lebih berharga daripada apa-apa gaji sekalipun.”
Kadang rezeki datang bila kita tak sangka. Dari Bees ke Emirates - perjalanan yang luar biasa.