Desas desus mengenai penjaga gol legenda Jerman, Manuel Neuer bakal keluar dari persaraan kini menjadi kenyataan selepas beliau dilaporkan bakal menyarung semula jersi skuad kebangsaan Jerman selepas bersetuju untuk keluar daripada persaraan antarabangsa demi menghadapi saingan Piala Dunia 2026. Walaupun telah mengumumkan persaraan daripada pentas antarabangsa pada tahun 2024, bintang veteran Bayern Munich itu berjaya diyakinkan oleh ketua jurulatih, Julian Nagelsmann untuk kembali menggalas tanggungjawab sebagai penjaga gol nombor satu negara.
Laporan daripada Sky Sport mendedahkan bahawa kepulangan paling ikonik dalam sejarah bola sepak Jerman ini bakal menjadi realiti selepas Neuer mencapai persetujuan bersama Nagelsmann dan Pengarah Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB), Rudi Völler. Pemain berusia 40 tahun itu sedia mempertahankan kubu Jerman dalam kejohanan yang bakal berlangsung di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat. Nagelsmann yang memantau rapat prestasi semasa Neuer dilaporkan amat kagum dengan kualiti permainan serta menyifatkan "pengalaman dan mentaliti juara" yang dimiliki pemenang Piala Dunia 2014 itu sebagai aset yang tidak boleh ditukar ganti.
Langkah membawa pulang Neuer pada usia 40 tahun ini dilihat menyamai model integrasi impak tinggi yang pernah dilakukan ke atas Toni Kroos ketika kempen Euro 2024. Skuad kebangsaan Jerman dijangka akan terus meletakkan Neuer di dalam kesebelasan utama seawal perlawanan persahabatan menentang Finland pada 31 Mei ini di Mainz atau aksi bertemu Amerika Syarikat pada 6 Jun di Chicago. Bagi melancarkan proses ini, nama Neuer telah pun dimasukkan ke dalam senarai awal 55 pemain yang diserahkan kepada FIFA sebelum senarai akhir 26 pemain diumumkan secara rasmi oleh Nagelsmann pada 21 Mei ini.
Di sebalik kegembiraan para peminat tegar Jerman, berita kepulangan Neuer ini menjadi tamparan yang amat perit buat penjaga gol Hoffenheim, Oliver Baumann. Pemain berusia 34 tahun itu sebelum ini telah mengukuhkan posisinya sebagai penjaga gol utama sepanjang tempoh kelayakan Piala Dunia dan dijangka memimpin pasukan dari benteng terakhir. Walau bagaimanapun, keputusan terbaharu ini menyaksikan Baumann terpaksa akur untuk menjadi penjaga gol kedua sebaik sahaja Neuer melangkah masuk semula ke dalam skuad.
Meskipun berdepan situasi sukar, Baumann tetap memamerkan keyakinan tinggi apabila disoal mengenai statusnya susulan kekalahan 4-0 Hoffenheim kepada Borussia Monchengladbach. Beliau menegaskan bahawa dirinya masih memegang kepercayaan yang diberikan oleh Nagelsmann berdasarkan perbincangan empat mata sebelum ini. Baumann memilih untuk kekal fokus dalam sesi latihan persediaan dan enggan mengulas lanjut sama ada pelantikan semula Neuer itu merupakan satu tindakan yang tidak adil terhadap kerja keras yang telah dibuktikannya sepanjang tahun.
Sementara itu, Neuer sendiri memilih untuk bersikap tenang dan enggan mengulas panjang mengenai spekulasi kepulangannya ketika ditemui media selepas kemenangan 5-1 Bayern ke atas Koln. Beliau yang dikeluarkan pada minit ke-60 dalam perlawanan tersebut akibat isu kecederaan betis ringan menegaskan bahawa fokus utamanya ketika ini adalah untuk meraikan kejayaan kejuaraan liga bersama Bayern Munich serta membuat persiapan rapi menghadapi aksi final piala domestik pada minggu hadapan.