Pengurus Arsenal, Mikel Arteta mengesahkan bahawa Martin Odegaard dan Kai Havertz kini kembali cergas untuk aksi timbal balik separuh akhir Liga Juara-Juara menentang Atletico Madrid. Kepulangan dua pemain kreatif ini dianggap sangat kritikal memandangkan Arsenal perlu memburu kemenangan selepas melalui perlawanan pertama yang mencabar di Madrid minggu lalu.
Kai Havertz sebelum ini terlepas aksi perlawanan pertama di Sepanyol serta kemenangan 3-0 ke atas Fulham dalam saingan liga manakala kapten pasukan, Martin Odegaard, terpaksa dikeluarkan ketika menentang Atletico dan tidak diturunkan pada hujung minggu. Arteta mengesahkan kedua-dua pemain tersebut sudah disenaraikan dalam skuad dan sedia untuk diturunkan bagi perlawanan hidup mati tersebut.
"Ya, mereka sedia untuk beraksi. Kedua-duanya berada dalam skuad," tegas Arteta.
Beliau turut menekankan bahawa kehadiran Odegaard dan Havertz memberikan fleksibiliti taktikal yang sangat diperlukan sama ada untuk memulakan perlawanan atau memberikan impak dari bangku simpanan. Berita ini hadir pada waktu yang tepat ketika Arsenal memerlukan kualiti kepimpinan dan kreativiti di bahagian tengah bagi menembusi pertahanan kental kendalian Diego Simeone.
Kepulangan mereka menyusul beberapa hari selepas Bukayo Saka kembali menemui sentuhan terbaiknya. Saka, yang memulakan perlawanan liga buat kali pertama sejak Mac lalu ketika menentang Fulham telah mempamerkan aksi memukau dengan satu gol dan satu bantuan gol. Arteta menegaskan bahawa pada fasa saingan yang genting ini, beliau memerlukan pemain yang bukan sahaja cergas tetapi berada dalam prestasi terbaik untuk menjadi penentu dalam perlawanan besar.
Selain di barisan serangan, Arteta kini mempunyai lambakkan pemain di bahagian pertahanan dengan ketersediaan Riccardo Calafiori dan Piero Hincapie pada masa yang sama. Menurut pengurus itu, memiliki kedua-dua pemain ini pada masa yang sama memberikan kelebihan buat Arsenal kerana mereka mempunyai profil permainan yang sangat berbeza. Ini membolehkan Arteta menyesuaikan corak pertahanan dan transisi mengikut kesesuaian taktik lawan yang bakal dihadapi.
Isu kecederaan sepanjang musim ini juga telah memaksa Arteta untuk melakukan beberapa eksperimen termasuk memberikan peluang kepada bakat muda. Myles Lewis-Skelly, yang diturunkan di bahagian tengah ketika menentang Fulham mendapat pujian melambung daripada Arteta selepas mempamerkan aksi yang matang. Persaingan sihat antara pemain muda dan senior ini dilihat sebagai satu cabaran positif buat Arteta dalam memilih kesebelasan utama yang terbaik.
Menjelang perlawanan esok, Arteta menekankan kepentingan aspek emosi dan mentaliti para pemainnya. Beliau percaya bahawa keadaan emosi yang stabil akan menentukan kualiti persembahan di atas padang dalam suasana yang penuh tekanan di pentas Eropah. Dengan skuad yang hampir lengkap dan moral yang tinggi selepas kemenangan besar di liga, Arsenal kini berada dalam posisi yang sangat baik untuk memburu slot ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara. Perlawanan akan dilangsungkan pada pukul 3 pagi waktu Malaysia. Strim ke aplikasi uefa.tv untuk siaran langsung.