Trossard nafikan khabar angin mahu tinggalkan Arsenal

Penyerang lincah Arsenal, Leandro Trossard menegaskan bahawa dia tidak pernah terfikir untuk meninggalkan The Gunners, sekaligus menutup mulut pihak yang menyebarkan khabar angin mengenai masa depannya di Emirates.
Bercakap kepada media Belgium Sporza, pemain berusia 30 tahun itu menolak dakwaan kononnya dia mahu keluar selepas dikaitkan dengan beberapa kelab pada jendela perpindahan musim panas lalu.
“Saya lalui beberapa minggu yang sangat baik, baik dari segi individu mahupun bersama Arsenal,” katanya.
“Sekarang saya kembali cergas sepenuhnya dan berasa seperti pemain yang berada di prestasi terbaik.
"Saya sangat gembira dengan itu.”
“Saya rasa sangat selesa di Arsenal”
Trossard turut menjelaskan bahawa segala gosip yang timbul hanyalah disebabkan masalah kecederaan yang dihadapinya pada awal musim dan bukannya kerana dia mahu berpindah.
“Khabar angin itu perkara biasa.
"Tapi hakikatnya, meninggalkan Arsenal tidak pernah menjadi pilihan.
"Saya rasa sangat baik di sini,” katanya dengan yakin.
Pemain sayap Belgium itu sebelum ini bergelut dengan kecergasan ketika kempen baharu bermula, menyebabkan minit permainannya agak terhad. Namun sejak pulih, Trossard kembali menjadi antara tonggak penting dalam skuad Mikel Arteta, menjaringkan gol dan mencipta peluang penting dalam beberapa perlawanan terakhir Arsenal.
“Pada awal musim saya ada sedikit kecederaan, jadi saya tidak bermain banyak.
"Dari situ datanglah segala spekulasi,” jelasnya.
“Tapi beberapa minggu kebelakangan ini saya bermain lebih kerap, buat kerja saya dengan baik dan saya rasa amat puas hati.”
Serba boleh dalam sistem Arteta
Keupayaan Trossard bermain di pelbagai posisi menyerang menjadikannya senjata rahsia Arteta, sama ada di sayap kiri, kanan mahupun sebagai ‘false nine’.
Fleksibilitinya amat membantu Arsenal, terutama ketika beberapa bintang utama seperti Gabriel Martinelli dan Bukayo Saka berehat akibat kecederaan.
Kini kembali berada pada tahap kecergasan penuh, Trossard telah menyertai skuad kebangsaan Belgium bagi aksi menentang Macedonia Utara dan Wales minggu ini.
“Jika jurulatih mahu saya bermain sebagai false nine, saya sentiasa bersedia,” katanya sambil tersenyum.
“Saya dah biasa lakukannya di Arsenal, jadi tiada masalah.”
Fokus bantu Belgium terus cemerlang
Selain memberi tumpuan kepada Arsenal, Trossard turut optimis dengan prestasi semasa Belgium yang kini menunjukkan peningkatan di bawah kendalian Domenico Tedesco.
“Kami menjaringkan banyak gol dan tidak bolos.
"Kami hanya perlu teruskan momentum ini,” katanya menutup bicara.
Dengan semangat yang semakin tinggi dan prestasi yang kembali menyengat, Leandro Trossard kini bukan sahaja aset penting buat Arsenal, malah turut menjadi kunci utama untuk Belgium dalam usaha mereka memburu kejayaan antarabangsa.